Saturday, April 23, 2011

Anjing Yang Setia

Anjing Yang Setia

Dikisahkan, di sebuah dusun tinggallah keluarga petani yang memiliki seorang anak masih bayi. Keluarga itu memelihara seekor anjing yang dipelihara sejak masih kecil. Anjing itu pandai, setia, dan rajin membantu si petani. Dia boleh menjaga rumah bila majikannya pergi, mengusir burung-burung di sawah dan menangkap tikus yang berkeliaran di sekitar rumah mereka. Si petani dan isterinya sangat menyayangi anjing tersebut.

Suatu hari, si petani harus menjual hasil tuaiannya ke kota. Oleh kerana beban berat yang harus di bawanya, dia meminta isterinya ikut serta untuk membantu, agar secepatnya menyelesaikan penjualan dan sesegera mungkin pulang ke rumah. Si bayi di tinggal tertidur lelap di ayunan dan dipercayakan di bawah penjagaan anjing mereka.

Menjelang malam setiba di dekat rumah, si anjing berlari menyongsong kedatangan majikannya dengan menyalak keras berulang-ulang, melompat-lompat dan berputar-putar, tidak seperti biasanya. Suami isteri itu pun hairan dan merasa tidak tenang menyaksikan sifat si anjing yang tidak biasa. Betapa terkejutnya mereka, setelah berhasil menenangkan anjingnya, ternyata mulut si anjing berlumuran darah segar. “Lihat pak! Mulut anjing kita berlumuran darah! Pasti telah terjadi sesuatu pada anak kita!” teriak si ibu histeris, ketakutan, dan mulai terisak menangis. “Ha…benar! Kurang ajar kau anjing! Kau apakan anakku? Pasti telah kau makan!” si petani ikut berteriak panik.

Dengan penuh kemarahan, si petani spontan mengambil sebuah kayu dan secepat kilat memukul anjing itu dan mengenai bahagian kepalanya. Anjing itu terdiam sejenak. Tak lama dia menggelepar kesakitan, memekik perlahan dan dari matanya kelihatan titisan air mata, sebelum kemudian ia terdiam untuk selamanya.

Bergegas kedua suami isteri itu pun berlari masuk ke dalam rumah. Begitu tiba di bilik, kelihatan anak mereka masih tertidur lelap di ayunan dengan damai. Sedangkan di bawah ayunan terletak bangkai seekor ular besar dengan darah berceceran bekas gigitan. Mereka pun segera sedar bahawa darah yang ada di mulut anjing tadi adalah darah ular yang hendak mematuk anak mereka. Perasaan sesal segera mendera. Kesalahan fatal telah mereka lakukan. Emosi kemarahan yang tidak terkawal telah membunuh anjing setia yg mereka sayangi. Tentu, penyesalan mereka tidak akan membuat anjing kesayangan itu hidup kembali.

Pembaca yang budiman,

Gara-gara emosi dan kemarahan yang membabi buta dari sikap manusia, seekor anjing setia yang telah membantu dan membela majikannya, harus mati secara tragik. Saya rasa demikian pula dalam kehidupan ini. Begitu banyak permasalahan, pertikaian, perselisihan bahkan peperangan, muncul dari emosi yang tidak terkontrol. Oleh itu, saya sangat setuju dengan kata-kata: ”Jangan mengambil keputusan apa pun pada saat emosi sedang melanda.” Sebab, bila itu yang dilakukan, boleh fatal akibatnya. Sungguh, kita perlu belajar dan melatih diri agar disaat emosi, kita mampu mengendalikan diri secara sabar dan bijak.

No comments:

Post a Comment