Wednesday, December 8, 2010

Biola Dan Cinta


Pemuda Bermain Muzik Biola
Alkisah, sayup-sayup terdengar suara merdu muzik gesek di tengah keramaian jalan di sebuah kota. Orang-orang dihanyut mendengar alunan muzik yang terasa menyedihkan di telinga. Selesai memainkan muziknya, terdengar tepuk tangan orang-orang di situ. Pemuda itu pun berdiri dan membungkukkan badannya, mengucap terima kasih atas penghargaan yang diberikan.

Salah seorang penonton setengah baya, yang telah beberapa ketika memperhati pemuda bermain muzik, bertanya kepadanya, "Anak muda, engkau sepertinya bukan penduduk sini. Permainan muzikmu bagus sekali! Apa yang hendak kamu sampaikan lewat lagu sedih yang kamu mainkan tadi?" "Saya memang bukan penduduk sini Tuanku, saya dari desa sebelah yang sedang ditimpa musibah." "Kamu ingin wang sedekah sebagai gantinya?" "Tidak Tuanku, tidak. Saya tidak menjual muzik demi wang sedekah..." "Lalu untuk kenapa kamu bermain muzik di tengah keramaian ini?" lanjutnya bertanya. "Sebenarnya, saya ingin menjual alat muzik ini. Saya sengaja bermain muzik agar calon pembeli boleh mendengarkan merdunya alat muzik kesayangan saya ini," jawab pemuda serta menghulurkan alat muziknya kepada tuan yang bertanya tadi.  

Sambil menerima dan meneliti alat muzik tersebut, tuan kembali berkata, "Alat muzik ini kesayanganmu, kenapa engkau rela untuk menjualnya?" "Tolong saya Tuan, isteri saya sedang menunggu kelahiran anak kami. Walaupun alat muzik ini adalah harta terakhir yang sangat saya sayangi, tetapi saya tahu, saya pasti lebih mencintai isteri dan anak saya. Demi sebuah kehidupan baru, rasanya layaklah pengorbanan ini," jawabnya dengan mata yang mulai berlinangan.

Setelah menimbang beberapa saat, tuan mengambil dompet dari bajunya dan mengeluarkan kepingan emas. "Terimalah wang ini untuk membantu kelahiran anakmu!" Segera diterimanya wang itu, dan pemuda berkata gembira: "Terima kasih banyak Tuan! Sebagai hadiah, saya berjanji akan mengajar memainkan alat muzik ini kepada Tuan." Alat muzik itu dikembalikan kepada si pemuzik. Pemuda kebingungan bertanya, "Apa yang salah, Tuan? Anda tadi sudah mendengar suaranya yang merdu kan?" "Ha ha ha, saya sengaja membayarmu untuk menyimpan alat muzik ini kerana alat ini tempatnya adalah di tanganmu. Saya yakin, tidak seorang pun mengenal dan boleh memainkannya sebaik dirimu. Kerelaan menyerahkan hartamu yang paling berharga, demi cinta yang kau berikan adalah layak untuk upah yang saya berikan kepada kamu."

Pemuda tersipu-sipu bertanya, "Tuan, bagaimana saya membalas kebaikan ini?" "Anak muda, berikan cinta kepada anakmu dan limpahkan kasih sayang kepada isterimu, dengan cara itu kamu telah membayar kebaikanku," kata tuan itu sambil beranjak pergi meninggalkan pemuda yang masih tidak percaya dengan apa yang terjadi itu.

Sahabat,
Mahu berkorban bukan hal yang mudah untuk dilaksanakan. Lebih-lebih, mengorbankan apa yang paling kita senangi. Boleh memberi, apa lagi memberi tanpa mengharapkan balasan, ini juga sikap luhur yang tidak mudah untuk dilakukan. Kita memerlukan latihan dan membiasakan diri dalam kesempatan yang ada.

Saya ingat kata-kata mutiara. Kita menjalani kehidupan dengan apa yang kita dapatkan, tetapi kita membuat hidup dari apa yang kita berikan. Mari kita tumbuh kembangkan sikap luhur ini dalam praktik kehidupan kita. Saya yakin dan percaya, dari apa yang kita beri, pasti ada kelimpahan yang akan kita terima.

No comments:

Post a Comment