Saturday, December 25, 2010

Rasa Tanggung Jawab

Tanggung Jawab

Suatu hari, seorang tenaga marketing di bidang kewangan mengeluh dan putus asa. "Seumur hidup saya akan merasa bersalah kerana telah menyebabkan pelabur rugi besar. Apalagi jika ada yang sampai meninggal kerana itu. Aduh rasanya saya mahu mati sahaja," katanya. Syarikat tempatnya bekerja ternyata tidak mampu mengembalikan wang pelabur, sesuai perjanjian. Bukan hanya bunga yang tidak dibayar, bahkan pokoknya pun telah menyusut hingga 20 peratus kerana situasi market yang semakin menurun.

Hampir setiap kali bercakap di telefon, dia menangis ketakutan dikejar rasa bersalah dan memikirkan para pelabur yang pasti membencinya. "Kali ini, habislah saya. Periuk nasi saya sudah terbalik. Saya trauma mahu mencari kerja lagi. Fikiran saya kacau. Kalau ada apa-apa dengan pelabur disebabkan wangnya tidak dapat dikembalikan, matilah saya. Saya yang memujuk para pelabur untuk melabur di sini, tapi saya tidak tahu kalau masalahnya seperti ini. Saya tidak pernah berniat jahat dengan siapapun, tapi hari ini, justru orang-orang yang percaya kepada saya yang saya celakai." Sambil bergurau, si penerima keluhan menjawab, "ala, jangan mati dulu. Kalau kamu orang yang boleh dipercayai dan bertanggung jawab, justeru tetap hidup dan menghadapi masalah ini.

Tunjukkan bahawa kamu tidak akan lari dan akan membantu menyelesaikannya hingga selesai. Jika kamu sudah maksimum membantu, tetapi pelabur tetap tidak puas kerana rugi besar, itu risiko yang harus kamu tanggung. Tidak perlu marah sendiri. Pelabur mahu marah dan benci, itu adalah hak mereka. Siapa pun yang rugi sebesar itu, boleh marah" Ia melanjutkan kata-katanya. "Mereka belum tentu membenci kamu secara peribadi, tetapi situasi yang tidak baik menyebabkan ada orang yang harus dijadikan tempat untuk mereka marah. Ya kamulah orang yang paling tepat buat sasaran, tetapi sebenarnya, setiap orang harus bertanggung jawab pada keputusannya sendiri! Ketika pelabur menandatangi perjanjian, dengan sedar, tidak ada orang yang memaksa dia untuk ikut kamu. 

Jadi, jika kamu sudah melakukan semaksimumnya, selebihnya serahkan kepada Tuhan, itu sudah di luar kawalanmu. Jangan percaya kalau ini adalah akhir dunia. Setiap pekerjaan yang kamu lakukan dengan hati dan niat baik, pasti ada jalan yang terbuka. Hari ini pelaburmu mungkin sekitar 50 orang. Padahal di luar sana masih ada puluhan orang lain calon pelabur. Oleh itu, lihat ke depan, hati-hati memilih tempat kerja, teliti dulu. Tegakkan kepala dan bersikaplah optimis kerana kehidupan perlu diteruskan!"

Anda dan saya,
kita mungkin pernah merugikan orang lain dengan tidak sengaja, hingga orang lain menderita, tetapi yang paling utama adalah kita sedar secara ikhlas bahawa kita tidak ada hati secara sengaja untuk merugikan orang lain. Selain itu, kita harus berani bertanggung jawab, membantu, dan menghadapi situasi itu sampai selesai.

Seorang ilmuwan besar Albert Einstein (1879-1955) mengatakan, "The price of greatness is responsibility" harga sebuah kebesaran adalah terletak pada tanggung jawab. Mempunyai rasa tanggung jawab adalah mutiara kehidupan. Oleh itu, dengan rasa tanggung jawab yang besar, kita ambil hikmah dan pelajaran pahit, serta tetap berani berjalan ke depan dengan optimis aktif!

No comments:

Post a Comment