Wednesday, December 8, 2010

Hati Yang Penuh Syukur


Hati Yang Penuh Syukur
Alkisah, di sebuah senja kelabu di pinggir kota kecil Taiwan, kelihatan seorang lelaki sedang berjalan pulang ke rumah dari tempat kerjanya sebagai pemandu teksi. Tiba-tiba, perhatiannya tertuju pada gerakan rumput dan suara gemerisik di tengah-tengah bebatuan di tepi jalan.

Segera, dihampiri dengan perasaan berhati-hati. Seketika, matanya terbeliak terkejut melihat bungkusan berisi bayi merah yang tertiarap di situ. Setelah melihat di sekeliling tempat itu yang kelihatan sepi saja, segera diangkat bungkusan bayi itu dengan hati-hati dan dengan tergopoh-gopoh dibawa pulang ke rumahnya.

Isterinya terkejut mendengar cerita dan melihat apa yang ditemui oleh suaminya. Isterinya segera menggendong bayi dengan perasaan sayang. Mereka adalah sepasang suami isteri yang telah lama mengharapkan kehadiran anak di tengah keluarga. Bayi yang masih merah itu terasa seperti pemberian Yang Maha Kuasa kepada keluarga mereka.

Waktu terus berjalan. Selang kira-kira usia dua tahun, kerana merasa ada yang janggal dengan kemampuan bercakap dan reaksi pendengarannya yang sangat lambat, kedua orang tua itu membawa anaknya ke rumah sakit. Kecurigaan mereka pun terjawab, anak tersebut memang cacat sejak lahir, iaitu bisu tuli. Walaupun rasa keciwa sesaat, namun perasaan sayang yang telah terpupuk selama ini, membuat mereka memutuskan untuk tetap memelihara dan membesarkan anak itu.

Tahun silih berganti. Walaupun cacat, si gadis kecil adalah anak yang cerdas dan mendapat pendidikan yang baik di sekolah luar biasa hingga mampu lulus dengan baik. Setelah lulus, melalui ujian dia diterima masuk untuk bidang seni di perguruan tinggi kota besar. Perasaan gembira dan sedih pun silih berganti. Gembira kerana diterima anaknya ke universiti terkenal, sedih harus berpisah jauh dan perlukan belanja yang besar untuk itu.

Demi mewujudkan impian anaknya, kedua orang tua itu bertekad untuk berjimat cermat dan bekerja berhempas pulas. Sejak saat itu, si ayah bekerja sangat keras, hampir setiap hari pulang ke rumah hingga larut malam. Namun hidup memang sering tidak sesuai dengan rancangan manusia. Ketika kuliah memasuki tahun ke-2, suatu malam si ayah pergi dan tidak pernah kembali. Teksi yang dibawanya berlanggar dan nyawanya tidak dapat diselamatkan.

Si anak tahu, betapa berat beban belanja yang harus dipikul ibunya dan dia memutuskan untuk berhenti kuliah, pulang dan bekerja serta menemani ibunya di rumah. Mengetahui itu, si ibu sangat tersentuh dengan pengertian anaknya. Tetapi, ia menegaskan, "Ibu tahu kesedihanmu, nak. Ibu juga sangat kehilangan ayahmu. Tetapi kamu tidak boleh berhenti kuliah. Belajarlah yang benar! Selesaikan kuliahmu secepatnya dan ibu tunggu kepulanganmu dengan ijazah di tangan. Setiap bulan, ibu akan berusaha mengirimkan wang untuk belanjamu di sana. Ingat, jangan berfikir pulang sebelum kuliahmu selesai. Jika kamu gagal, ibu dan ayahmu di alam sana pasti keciwa kerana kerja keras dan pengorbanan kami selama ini akan sia-sia."

Waktu terus berjalan. Selesai pengajian, dengan bangga dan kegembiraan yang meluap serta kerinduan yang sangat, si anak segera pulang ke desanya. Setiba di rumah, dia mengetuk berulang kali pintu rumahnya yang tertutup rapat. Sungguh tidak pernah diduga sama sekali, pertemuan dengan tetangganya ternyata membuat hatinya lumpuh seketika. "Nak, ibumu setahun lalu telah meningal dunia. Maafkan kami tidak memberitahu kerana ibumu meminta kami bersumpah untuk merahsiakannya. Semua hasil tabungan ibumu disimpan dengan kami untuk dikirimkan kepadamu setiap bulan dan dia pun meminta kami membalaskan surat-suratmu. Masih ada satu rahsia besar yang sebenarnya ayah ibumu sembunyikan darimu. Bahawa kamu sesungguhnya bukan anak kandung mereka. Walaupun kamu cacat dari bayi, mereka tidak peduli. Mereka tetap menyayangimu melebihi anak kandung sendiri."

Mendengar semua cerita tentang dirinya, duka yang mendalam tidak mampu diwujudkan dalam teriakan histeria. Hanya derasnya airmata yang mengalir tidak terbendung. Di depan makam kedua orang tuanya, sambil bersimbah air mata, si gadis bersujud dan mendoakan kebahagiaan orang tuanya.

Demi mengenang dan mencurahkan rasa syukur yang besar atas kasih sayang dan pengorbanan kedua orang tuanya, lahirlah sebuah puisi yang sangat menyentuh, berjudul  Hati yang Penuh Syukur.

1 comment: