Thursday, December 9, 2010

Menggali Emas


Menggali Emas
Suatu hari, seorang anak perempuan pulang ke rumah orangtuanya dengan hati gelisah. Sambil menangis dia melaporkan masalah rumah tangga yang sedang di hadapinya, "Ayah, ibu, anaknda sudah tidak sanggup hidup bersama dengan suamiku lagi. Sudah sekian lama dia tidak bekerja, sehingga di rumah sekarang ini tidak ada wang lagi untuk belanja hidup. Aku mahu bercerai saja. Titik." "Memang ada apa dengan pekerjaan suamimu dulu?" tanya ibunya."Dia merasa pekerjaannya tidak berharga lagi. Satu-satunya benda yang dianggapnya bernilai adalah emas sehingga setiap hari dia sibuk berfikir di mana dan bagaimana caranya untuk menemukan galian emas. Aku sudah mengingatkan berulang kali, bahkan mengancam akan pergi dari rumah, tetapi dia tidak peduli sama sekali. Aku sungguh tidak tahan lagi” kata anaknya.

Setelah memikirkan beberapa saat, ayahnya berkata kepada anaknya, "Anakku, pulanglah ke rumahmu. Sampaikan pada suamimu, ayah mempunyai pengetahuan mendapatkan emas dari warisan keluarga. Jika suamimu serius mahu belajar, ayah akan memberitahu rahsia dan cara mendapatkan emas."

Si suami pun bergegas bertemu dengan mentuanya setelah mendengar khabar dari isterinya. Ayah mentuanya berjanji akan memberitahu cara mendapatkan emas dengan syarat, menantunya harus mengumpulkan 5 kilogram bulu daun pisang dari pokok pisang yang ditanamnya sendiri. Suami anaknya gembira lalu segera pulang dan mulai menanam pisang di ladang dekat dengan pekarangan rumahnya. Dia sangat rajin menjaga pokok pisangnya. Setiap kali masa berbuah, isteri dan anaknya memetik, dan dia sibuk mengumpulkan bulu-bulu di atas daun pisang.

Tiga tahun kemudian, ketika terkumpul 5 kilogram bulu daun pisang, dia datang untuk menagih janji kepada ayah mentuanya. "Baiklah anakku, ayah sudah tidak sabar lagi ingin memberi pelajaran ini kepadamu," kata si ayah sambil mengajaknya memasuki bilik, lalu dibukanya almari yang ada di sana. Ternyata isinya kepingan emas. Si menantu terkejut gembira dan berkata, "Oh, ternyata ayah dari dulu sudah mendapat emas. Cepat beritahu saya, bagaimana cara memperolehinya?" "Kepingan emas ini bukan ayah yang menggali dan memperolehinya, tetapi kamu yang mendapatnya sendiri." "Saya yang memperolehi? Menggali emas pun tidak ada, bagaimana saya mendapat emas?" "Anakku, tentu ada cara lain walau pun bukan dengan cara menggali emas, tetapi boleh menghasilkan emas. Ingat pokok pisang yang telah kamu tanam? Wang hasil jualan pisang, bapa belikan emas, dan emas di almari itu adalah hasil kerja kerasmu selama 3 tahun."

Menantunya takjub, dielusnya emas di tangannya. "Terima kasih Ayah. Ayah telah mengajarkan kepada saya, bahawa untuk mendapatkan emas tidak bererti harus menggali emas. Memanfaatkan tanah dan pekarangan yang ada, kami pun dapat memiliki emas yang sangat bernilai ini," ucapnya dengan lega dan penuh syukur.
 
Sahabat  yang Luar Biasa,
Sering kali kita menganggap kejayaan boleh dicapai hanya melalui satu cara sahaja, walhal kejayaan boleh diraih melalui pelbagai cara. Sebenarnya di dalam diri kita sendiri dan di tempat dimana kita berada ketika ini, telah tersedia kesempatan-kesempatan yang memungkinkan untuk kita gali, kita perolehi sekaligus kita manfaatkan untuk kita jadikan emas.

No comments:

Post a Comment